Hadiah
Dari Ayah
(Memaparkan Cerita-Cerita Ringkas Yang Berunsurkan Pengajaran, Penghayatan, Nilai-Nilai Murni, Keharmonian, Kesedaran Dan Kecintaan Dalam Kehidupan)
Sehari sebelum saya berangkat ke
kota, ayah memanggil saya ke pejabatnya. Saya agak hairan ketika itu, apatah
lagi apabila ayah menyuruh saya masuk ke pejabatnya. Kami jarang sekali
dibenarkan masuk ke pejabatnya, terutama sekali ketika ayah sedang sibuk
menyiapkan bahan penulisan yang bakal dicetakkan di dalam kolumnya di sebuah
akhbar tempatan.
"Ambil bungkusan ini dan buka
hanya apabila kamu rasa benar-benar rasa buntu untuk menyelesaikan masalah
kamu", kata ayah sambil menyerahkan sebuah bungkusan yang sederhana besar.
Dan esoknya ayah menghantar saya hingga ke stesen bas dengan senyuman penuh makna.
Suatu hari, setelah hampir 3 bulan
saya berada di kota, saya ditimpa satu masalah yang benar-benar membuat saya
buntu dan hampir putus asa untuk menghadapinya. Saya teringatkan bungkusan yang
ayah berikan dulu. Saya kira, inilah masanya untuk saya membuka rahsia yang
tersirat di sebalik bungkusan tersebut.
Ternyata di dalam bungkusan itu
terkandung sehelai sejadah lama, sehelai kain pelikat baru dan sebuah kompas
penunjuk arah kiblat serta sekeping nota yang berbunyi .
"Tiada namanya lautan jika ia
tidak bergelora, tiada namanya bumi jika tidak ditimpa hujan dan tidak namanya
kehidupan jika tiada masalah.
Sebagaimana warna menyempurnakan
lukisan, masalah pula adalah penyempurnaan kehidupan.
Bersyukurlah, sekurang-kurangnya
kamu masih hidup dan Tuhan masih mengambil berat dengan kamu, kerana itu
dianugerahkan olehNya masalah. Buat kamu menajamkan lagi akalmu.
Tenang dan rapatkan kedua tangan
menadah doa mohon petunjuk kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya Dialah yang
Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
~Muhammad Salleh~
Saya terpana, ternyata ia adalah
hadiah daripada datuk saya kepada ayah saya dan sekarang diwariskan kepada
saya.
Dan sejak dari hari itu, saya selalu
mengucapkan syukur setiap kali saya dilanda masalah kerana saya tahu bahawa Tuhan
masih mengambil berat akan saya.
Moral:
Kita seringkali
mengeluh setiap kali kita dilanda masalah. Malah seringkali kita menyalah Tuhan
kerana ditimpa musibah tanpa kita sedar bahawa ternyata musibah itu bukan saja
untuk menyedarkan kita dari lena tetapi hikmah di sebaliknya adalah untuk
menajamkan lagi akal kita.
Kita sebenarnya
wajib bersyukur kerana setelah sekian lama dilimpahi nikmat, kita hanya diuji
dengan sedikit musibah saja. Dan yang paling penting, kita masih lagi hidup,
masih dapat memanjatkan doa dan memohon petunjuk dariNya,serta memohon ampun
kepadaNya jika ada salah dan silap yang kita lakukan.
Kadang kala,
musibah itu adalah peringatan untuk kita memuhasabahkan kembali diri kita
tentang apa yang telah kita lakukan dan apa yang masih belum kita tunaikan.
*****************************************************
Si
budak penjual kuih
Hari
itu selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan
highway PLUS sibuk,saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas
ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di
pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia
lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.
"Abang
nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun
pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
“Tak
apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.
Dia
berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit
kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang
suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.
"Abang
dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri
meja saya.
"Abang
baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil
menepuk-nepuk perut.
Dia
beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan
bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih
saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"
Molek
budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke
premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan
dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung
tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan
membeli kuihnya.
Selepas
membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar bekereta. Kanak-kanak
itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu,
membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin,
kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya
turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12
tahun.
"Abang
dah kenyang, tapi mungkin Abang perlukan kuih saya untuk adik-adik Abang, ibu
atau ayah Abang" katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia
mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.
Saya
tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian dihati. Lantas
saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan
padanya.
"Ambil
ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas
kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang
tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima
deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya
hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu
menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta
kedua-dua matanya.
Saya
terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa
bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa
adik berikan duit Abang tadi pada pengemis tu? Duit tu Abang bagi adik!"
kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.
"Bang
saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis.
Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat
kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan
jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak
berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.
Saya
sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal
saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abang
nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu
nak berkata.
"RM25
saja bang."
Selepas
dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia
mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
Saya perhatikan
dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru
saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati
mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi
atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat
menjadikan kerjayanya satu penghormatan.
Sesungguhnya
saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita
sebenarnya!
Moral :
Satu perjalananan seorang kanak-kanak yang begitu taat kepada
perintah Allah s.w.t.
Semoga menjadi renungan bersama
Kemaafan dan Terima Kasih
Ini adalah sebuah kisah tentang dua
orang sahabat karib yang sedang berjalan melintasi gurun pasir. Di tengah
perjalanan, mereka bertengkar, dan salah seorang menampar temannya. Orang yang
kena tampar, berasa sakit hati, tapi tanpa berkata apa-apa pun, dia menulis di
atas pasir : HARI INI, SAHABAT TERBAIKKU MENAMPAR PIPIKU.
Mereka terus berjalan, sampai
menemui sebuah oasis, di mana mereka membuat keputusan untuk mandi. Orang yang
pipinya kena tampar dan terluka hatinya, cuba berenang namun nyaris tenggelam
dan lemas, tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya. Ketika dia mulai sedar
dari lemas dan rasa takut sudah hilang, dia menulis di atas sebuah batu : HARI
INI, SAHABAT TERBAIKKU MENYELAMATKAN NYAWAKU.
Orang yang menolong dan menampar
sahabatnya, bertanya, "Kenapa setelah saya melukai hatimu, kamu menulisnya
di atas pasir, dan sekarang kamu menulis di batu ?"
Temannya sambil tersenyum menjawab,
"Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulisnya di atas pasir
agar angin maaf datang menghembus dan menghapus tulisan tersebut. Dan bila
sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita,
agar tidak hilang ditiup angin."
Moral:
Dalam hidup ini sering timbul berbeza pendapat dan konflik kerana
sudut pandangan yang berbeza. Oleh sebab itu, cubalah untuk saling memaafkan
dan lupakan masalah lalu. Belajarlah menulis di atas pasir
*****************************************************
Kisah Seekor Burung Pipit
Apabila datang musim kemarau, seekor
Burung Pipit mula merasakan tubuhnya kepanasan, lalu mengeluh pada
persekitarannya yang dikatakan tidak bersahabat.
Ia pun memutuskan untuk meninggalkan
tempat yang sejak dahulu menjadi habitatnya, terbang jauh ke utara yang
kononnya, udaranya sentiasa dingin dan sejuk. Ia pun terbang ke daerah utara.
Benar, perlahan-lahan ia mula merasakan kesejukan udara, makin ke utara makin
sejuk. Ia semakin bersemangat terbang ke arah utara lagi.
Kerana teruja, burung pipit itu
tidak merasakan sayapnya yang mula bersalut salji, semakin lama semakin tebal,
dan akhirnya ia jatuh ke tanah kerana tubuhnya terbungkus salji. Sampai ke
tanah, salji yang menempel di sayapnya bertambah tebal. Si burung pipit tidak
mampu berbuat apa-apa, dan berasakan riwayatnya telah tamat. Ia merintih
menyesali nasibnya.
Mendengar suara rintihan, seekor
Kerbau yang kebetulan melalui kawasan itu datang menghampirinya. Namun si
Burung kecewa kerana yang datang hanyalah seekor Kerbau. Ia mengherdik si
Kerbau agar menjauhinya dan mengatakan bahawa makhluk yang tolol tidak mungkin
mampu berbuat apa-apa untuk membantunya.
Si Kerbau tidak banyak bicara, dia
hanya berdiri, kemudian kencing tepat di atas burung tersebut. Si Burung Pipit
semakin marah dan memaki hamun si Kerbau. Si Kerbau hanya berdiam diri, maju
satu langkah lagi, dan mengeluarkan kotoran ke atas tubuh si burung. Langsung
si Burung tidak mampu berkata-kata lagi kerana dirinya sudah tertimbun kotoran
si kerbau. Si Burung pipit mula menganggap ajalnya semakin hampir dan ia akan
mati tidak lama lagi kerana tidak mampu bernafas.
Namun perlahan-lahan, ia berasakan kehangatan.
Salji yang membeku pada bulunya mulai cair disebabkan hangatnya tahi kerbau
itu. Ia kembali dapat bernafas dengan lega dan melihat langit yang cerah. Si
Burung Pipit berteriak kegirangan, bernyanyi-nyanyi keriangan.
Mendengar ada suara burung bernyanyi,
seekor anak kucing menghampirinya, menghulurkan tangannya, mengais tubuh si
burung dan kemudian menimang-nimang, menjilati, mengelus dan membersihkan
sisa-sisa salji yang masih menempel pada bulu si burung. Apabila bulunya
bersih, Si Burung bernyanyi dan menari kegirangan, dia menganggap telah
mendapat teman yang ramah dan baik hati. Namun keriangannya tidak
lama...dunianya kemudian terasa gelap gelita ditelan oleh si Kucing. Maka
tamatlah riwayat si Burung Pipit.
Moral:
1. Halaman tetangga yang nampak lebih hijau, belum tentu sesuai bagi
kita.
2. Baik dan buruknya penampilan, jangan dipakai sebagai satu-satunya
ukuran.
3. Apa yang pada mulanya terasa pahit, kadang-kadang berbalik
membawa hikmah yang menyenangkan, dan demikian pula sebaliknya.
4. Ketika kita baru saja mendapatkan kenikmatan, jangan lekas lupa
dan terburu nafsu.
5. Waspadalah terhadap orang yang memberikan janji yang berlebihan.
Cerita yang menarik
BalasPadamTerima kasih atas kesudian mengkongsikan maklumat !
BalasPadamSaya suka cerita ini.
BalasPadamok jugak cerita dia
BalasPadamCerita yang best
BalasPadamInteresting.I love it.Thank you
BalasPadamCerita ini sangat menarik dan memberi nilai moral yang baik kepada diri saya
BalasPadamSangat bagus says dapat membuat buku nilam dengan baik
BalasPadamBagus ceritanye..tidak jemu bila kite membaca.
BalasPadamThis story is nice. TY.
BalasPadam