cerita Pengajaran Kisah Tauladan



Hadiah Dari Ayah
(Memaparkan Cerita-Cerita Ringkas Yang Berunsurkan Pengajaran, Penghayatan, Nilai-Nilai Murni, Keharmonian, Kesedaran Dan Kecintaan Dalam Kehidupan)


            Sehari sebelum saya berangkat ke kota, ayah memanggil saya ke pejabatnya. Saya agak hairan ketika itu, apatah lagi apabila ayah menyuruh saya masuk ke pejabatnya. Kami jarang sekali dibenarkan masuk ke pejabatnya, terutama sekali ketika ayah sedang sibuk menyiapkan bahan penulisan yang bakal dicetakkan di dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan.
            "Ambil bungkusan ini dan buka hanya apabila kamu rasa benar-benar rasa buntu untuk menyelesaikan masalah kamu", kata ayah sambil menyerahkan sebuah bungkusan yang sederhana besar. Dan esoknya ayah menghantar saya hingga ke stesen bas dengan senyuman penuh makna.
            Suatu hari, setelah hampir 3 bulan saya berada di kota, saya ditimpa satu masalah yang benar-benar membuat saya buntu dan hampir putus asa untuk menghadapinya. Saya teringatkan bungkusan yang ayah berikan dulu. Saya kira, inilah masanya untuk saya membuka rahsia yang tersirat di sebalik bungkusan tersebut.
            Ternyata di dalam bungkusan itu terkandung sehelai sejadah lama, sehelai kain pelikat baru dan sebuah kompas penunjuk arah kiblat serta sekeping nota yang berbunyi .
            "Tiada namanya lautan jika ia tidak bergelora, tiada namanya bumi jika tidak ditimpa hujan dan tidak namanya kehidupan jika tiada masalah.
            Sebagaimana warna menyempurnakan lukisan, masalah pula adalah penyempurnaan kehidupan.
            Bersyukurlah, sekurang-kurangnya kamu masih hidup dan Tuhan masih mengambil berat dengan kamu, kerana itu dianugerahkan olehNya masalah. Buat kamu menajamkan lagi akalmu.
            Tenang dan rapatkan kedua tangan menadah doa mohon petunjuk kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
            ~Muhammad Salleh~
            Saya terpana, ternyata ia adalah hadiah daripada datuk saya kepada ayah saya dan sekarang diwariskan kepada saya.
            Dan sejak dari hari itu, saya selalu mengucapkan syukur setiap kali saya dilanda masalah kerana saya tahu bahawa Tuhan masih mengambil berat akan saya.


Moral:
            Kita seringkali mengeluh setiap kali kita dilanda masalah. Malah seringkali kita menyalah Tuhan kerana ditimpa musibah tanpa kita sedar bahawa ternyata musibah itu bukan saja untuk menyedarkan kita dari lena tetapi hikmah di sebaliknya adalah untuk menajamkan lagi akal kita.
            Kita sebenarnya wajib bersyukur kerana setelah sekian lama dilimpahi nikmat, kita hanya diuji dengan sedikit musibah saja. Dan yang paling penting, kita masih lagi hidup, masih dapat memanjatkan doa dan memohon petunjuk dariNya,serta memohon ampun kepadaNya jika ada salah dan silap yang kita lakukan.
            Kadang kala, musibah itu adalah peringatan untuk kita memuhasabahkan kembali diri kita tentang apa yang telah kita lakukan dan apa yang masih belum kita tunaikan.




*****************************************************



Si budak penjual kuih


            Hari itu selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk,saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.
            "Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
            “Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.
            Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.
            "Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.
            "Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
            Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"
                Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.
                Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar bekereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.
                "Abang dah kenyang, tapi mungkin Abang perlukan kuih saya untuk adik-adik Abang, ibu atau ayah Abang" katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.
                Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

                "Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.
                Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.
                "Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
                "Kenapa adik berikan duit Abang tadi pada pengemis tu? Duit tu Abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.
                "Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.
                Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
                "Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
                "RM25 saja bang."
                Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
                Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.
                Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

Moral :
                Satu perjalananan seorang kanak-kanak yang begitu taat kepada perintah Allah s.w.t.
Semoga menjadi renungan bersama










*****************************************************


Kemaafan dan Terima Kasih


                  Ini adalah sebuah kisah tentang dua orang sahabat karib yang sedang berjalan melintasi gurun pasir. Di tengah perjalanan, mereka bertengkar, dan salah seorang menampar temannya. Orang yang kena tampar, berasa sakit hati, tapi tanpa berkata apa-apa pun, dia menulis di atas pasir : HARI INI, SAHABAT TERBAIKKU MENAMPAR PIPIKU.
            Mereka terus berjalan, sampai menemui sebuah oasis, di mana mereka membuat keputusan untuk mandi. Orang yang pipinya kena tampar dan terluka hatinya, cuba berenang namun nyaris tenggelam dan lemas, tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya. Ketika dia mulai sedar dari lemas dan rasa takut sudah hilang, dia menulis di atas sebuah batu : HARI INI, SAHABAT TERBAIKKU MENYELAMATKAN NYAWAKU.
            Orang yang menolong dan menampar sahabatnya, bertanya, "Kenapa setelah saya melukai hatimu, kamu menulisnya di atas pasir, dan sekarang kamu menulis di batu ?"
            Temannya sambil tersenyum menjawab, "Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar angin maaf datang menghembus dan menghapus tulisan tersebut. Dan bila sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita, agar tidak hilang ditiup angin."

Moral:
Dalam hidup ini sering timbul berbeza pendapat dan konflik kerana sudut pandangan yang berbeza. Oleh sebab itu, cubalah untuk saling memaafkan dan lupakan masalah lalu. Belajarlah menulis di atas pasir


*****************************************************


Kisah Seekor Burung Pipit


            Apabila datang musim kemarau, seekor Burung Pipit mula merasakan tubuhnya kepanasan, lalu mengeluh pada persekitarannya yang dikatakan tidak bersahabat.
            Ia pun memutuskan untuk meninggalkan tempat yang sejak dahulu menjadi habitatnya, terbang jauh ke utara yang kononnya, udaranya sentiasa dingin dan sejuk. Ia pun terbang ke daerah utara. Benar, perlahan-lahan ia mula merasakan kesejukan udara, makin ke utara makin sejuk. Ia semakin bersemangat terbang ke arah utara lagi.
            Kerana teruja, burung pipit itu tidak merasakan sayapnya yang mula bersalut salji, semakin lama semakin tebal, dan akhirnya ia jatuh ke tanah kerana tubuhnya terbungkus salji. Sampai ke tanah, salji yang menempel di sayapnya bertambah tebal. Si burung pipit tidak mampu berbuat apa-apa, dan berasakan riwayatnya telah tamat. Ia merintih menyesali nasibnya.
            Mendengar suara rintihan, seekor Kerbau yang kebetulan melalui kawasan itu datang menghampirinya. Namun si Burung kecewa kerana yang datang hanyalah seekor Kerbau. Ia mengherdik si Kerbau agar menjauhinya dan mengatakan bahawa makhluk yang tolol tidak mungkin mampu berbuat apa-apa untuk membantunya.
            Si Kerbau tidak banyak bicara, dia hanya berdiri, kemudian kencing tepat di atas burung tersebut. Si Burung Pipit semakin marah dan memaki hamun si Kerbau. Si Kerbau hanya berdiam diri, maju satu langkah lagi, dan mengeluarkan kotoran ke atas tubuh si burung. Langsung si Burung tidak mampu berkata-kata lagi kerana dirinya sudah tertimbun kotoran si kerbau. Si Burung pipit mula menganggap ajalnya semakin hampir dan ia akan mati tidak lama lagi kerana tidak mampu bernafas.
            Namun perlahan-lahan, ia berasakan kehangatan. Salji yang membeku pada bulunya mulai cair disebabkan hangatnya tahi kerbau itu. Ia kembali dapat bernafas dengan lega dan melihat langit yang cerah. Si Burung Pipit berteriak kegirangan, bernyanyi-nyanyi keriangan.
            Mendengar ada suara burung bernyanyi, seekor anak kucing menghampirinya, menghulurkan tangannya, mengais tubuh si burung dan kemudian menimang-nimang, menjilati, mengelus dan membersihkan sisa-sisa salji yang masih menempel pada bulu si burung. Apabila bulunya bersih, Si Burung bernyanyi dan menari kegirangan, dia menganggap telah mendapat teman yang ramah dan baik hati. Namun keriangannya tidak lama...dunianya kemudian terasa gelap gelita ditelan oleh si Kucing. Maka tamatlah riwayat si Burung Pipit.

Moral:
1. Halaman tetangga yang nampak lebih hijau, belum tentu sesuai bagi kita.
2. Baik dan buruknya penampilan, jangan dipakai sebagai satu-satunya ukuran.
3. Apa yang pada mulanya terasa pahit, kadang-kadang berbalik membawa hikmah yang menyenangkan, dan demikian pula sebaliknya.
4. Ketika kita baru saja mendapatkan kenikmatan, jangan lekas lupa dan terburu nafsu.
5. Waspadalah terhadap orang yang memberikan janji yang berlebihan.





4 ulasan: